Friday, August 15, 2008

ARIF SHAH CALON PALING LAYAK: ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpendapat Datuk Arif Shah Omar Shah adalah calon paling layak untuk bertanding menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, Arif Shah, 52, berasal dari Permatang Pauh dan mempunyai rekod baik dalam berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, satu daripada tiga kerusi negeri dalam Parlimen itu.

“Beliau telah berkhidmat dengan Umno untuk sekian lama dan membuktikan kesetiaan kepada parti. Beliau mempunyai keazaman dan aktif dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. "Beliau adalah calon terbaik. Beliau juga mempunyai bakat kepemimpinan.

“Lainnya yang dipilih untuk disenarai pendek sebagai calon BN juga bersetuju bahawa Arif calon yang baik untuk kerusi itu. Sebelum memutuskan mengenai calon, kami mendapatkan maklum balas daripada penduduk Permatang Pauh dan anggota Umno.

Pada 13 Ogos yang lalu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Arif sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu. Penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian pada 26 Ogos.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikosongkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu dalam usahanya untuk kembali menyertai Parlimen.

No comments: