Saturday, August 23, 2008

2 EXCO PERAK DIDAKWA


EXCO Kanan Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ngeh Koo Ham (duduk tengah) besama Kapt (b) Mohd Osman Mohd Jailu (duduk kiri) dan Jamaluddin Mohd Radzi (kanan) di sidang akhbar khas menafikan pembabitan dua orang exco dalam kes rasuah berkenaan dan meminta BPR menarik balik tuduhan yang dikenakan ke atas mereka, manakala media diminta memohon maaf, di Ipoh kelmarin.

BPR heret lima lelaki ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini

KUALA LUMPUR: Lima daripada enam lelaki termasuk dua Exco Perak dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sebelum ini direman Badan Pencegah Rasuah (BPR) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan satu projek perumahan di Seri Iskandar bernilai RM180 juta akan didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, berkata Bahagian Perundangan serta Pendakwaan BPR berpuas hati dengan siasatan kes itu dan menganggapnya selesai.

"BPR ada cukup bukti dan saksi untuk menuduh lima yang terbabit di mahkamah. BPR sedang menghubungi mereka hadir ke pejabat BPR Perak pada pagi Isnin untuk dibawa ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan masing-masing," katanya di sini, semalam.

Rabu lalu, lima individu termasuk Exco Pelancongan, Pembangunan Insan dan NGO negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering, Kapten (B) Osman Mohd Jailu dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bota ditahan reman selama tiga hari oleh BPR, manakala seorang lagi iaitu Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perdagangan yang juga Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ditahan keesokan harinya.

Semua yang terbabit ditahan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sebelum ini, Ahmad Said berkata, pihaknya percaya mereka meminta suapan dalam bentuk wang ringgit dan ada juga yang meminta rasuah seks bagi mempercepatkan kelulusan projek perumahan itu.

Tindakan kerajaan Perak memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak serta elektronik supaya membuat permohonan maaf terbuka, Ahmad Said berkata, perkara itu tidak timbul kerana dua Exco terbabit bersama tiga lelaki akan didakwa di mahkamah, hari ini.

"Kami tidak akan memohon maaf kerana BPR mempunyai cukup bukti, keterangan dan saksi untuk mendakwa mereka di mahkamah.

"Oleh itu, tidak timbul lagi soal ada pemimpin politik yang meminta BPR dan media memohon maaf terbuka berikutan laporan yang kononnya cuba mencemarkan nama baik dua Exco kerajaan Perak.

"Biar mahkamah membicarakan kes ini dan biar orang ramai menilai nanti kenapa BPR meneruskan tindakan terhadap mereka yang terbabit," katanya.

Ahmad Said berterima kasih kepada orang ramai dan media kerana sentiasa membantu BPR menangani gejala rasuah di negara ini selama ini.

Kerajaan Perak kelmarin memberi tempoh 24 jam kepada BPR dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf terbuka berikutan penyiaran laporan yang mencemarkan nama baik dua Exconya yang dikaitkan dakwaan rasuah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata jika gagal kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang meminta ganti rugi daripada pihak terbabit yang membuat dan menyiarkan laporan berkenaan.
Klik Di Sini dan Baca Selanjutnya...

HARGA MINYAK TURUN HAK RAKYAT

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan keputusan menurunkan harga minyak tiada kaitan dengan cubaan meraih undi pada pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, sebaliknya demi kepentingan rakyat seluruh negara.

"Adakah saya hendak korbankan kepentingan keseluruhan rakyat hanya kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya ketika menolak andaian kononnya penurunan harga minyak yang berkuat kuasa tengah malam kelmarin ada hubungan dengan pilihan raya kecil itu.


Beliau berkata, keputusan menurunkan harga minyak berdasarkan harga minyak mentah dunia sehingga kelmarin dan kerajaan menunaikan janji untuk berbuat demikian kerana harga minyak yang lebih rendah adalah hak seluruh rakyat jika keadaan membenarkan ia dikurangkan.

Katanya, perkara berkenaan bukan isu politik kerana semua keputusan mengenainya memerlukan pertimbangan dan perbincangan rapi.

"Saya buat apa yang saya cakap. Adakah kerana pilihan raya hari ini maka seluruh rakyat dinafikan (untuk menikmati) harga minyak yang lebih rendah. Minyak bukan untuk orang Permatang Pauh saja," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan masyarakat Cina di Rumah Pangsa Taman Tun Hussein, di sini, semalam.

Malah, katanya, keputusan itu dilaksanakan juga walaupun Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan ada kemungkinan harga minyak mentah dunia meningkat semula.

Mengenai keselamatan sepanjang kempen pilihan raya itu, Abdullah berkata, tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku sehingga ini, cuma ada sedikit ketertiban walaupun semangat petugas parti begitu tinggi.

Bagaimanapun, beliau ada menerima laporan mengenai cadangan pihak tertentu yang mahu membawa ramai orang luar ke Permatang Pauh pada hari mengundi Selasa ini dan menyebabkan jalan raya sesak.

"Saya harap ini tidak berlaku (kerana) kalau kita hendak amalkan demokrasi, amalkan betul-betul dan jangan hanya hendak kebaikan serta kesenangan untuk kita tetapi susahkan orang lain," katanya.

Beliau memberi jaminan pengundi akan selamat keluar mengundi dan meminta polis memastikan laluan ke pusat mengundi tidak sesak dengan kenderaan supaya pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan tenang.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Abdullah berkata, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah adalah wakil rakyat yang terbaik dan perlu menjadi pilihan kerana rapat dengan penduduk selain rajin dan menetap di Permatang Pauh.

Abdullah berkata, kerajaan BN akan terus kukuh dan diuruskan untuk kepentingan rakyat tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Sambil mengakui tidak ada yang mustahil pada setiap pilihan raya, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Saya fikir segala-galanya berkemungkinan, mungkin beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) balik ke Parlimen atau mungkin juga beliau boleh tewas.

"(Bagaimanapun) saya tidak kisah sama ada dia menang atau kalah kerana yang penting bagi saya ialah menggerakkan kerajaan. Saya ambil berat supaya orang saya (petugas BN) bekerja keras dan berjumpa pengundi dan (kemudian) melaksanakan tugas kepada penduduk," katanya.

Abdullah berkata, beliau tidak peduli tindakan pembangkang kerana walaupun kekurangan lapan kerusi Parlimen untuk membentuk majoriti dua pertiga, bagi BN ia cukup kuat untuk banyak negara membangun.

Mengenai dakwaan Anwar ada Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti selepas berjaya ke parlimen, Abdullah berkata, beliau tidak bimbang mengenainya.

"Orang BN sayangkan BN, jika kita ada masalah sesama kita, kita akan selesaikan secara baik," katanya.

Mengenai sumpah bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa dia diliwat Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menafikan ada hubungan dengan wanita Mongolia, Antantuya Sharibu, Abdullah berkata beliau tidak berhak menyatakan sama ada ia perlu atau tidak.
Klik Di Sini dan Baca Selanjutnya...

Sunday, August 17, 2008

JANGAN BIADAP PEMBANGKANG TIDAK MENUNJUKKAN RASA HORMAT PADA LAWAN - NAJIB



BUKIT MERTAJAM 17 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pembangkang yang bersikap biadap terhadap pemimpin UMNO dan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sikap berkenaan melambangkan imej pembangkang yang tidak berbudi bahasa dan akan diamalkan jika diberi peluang memerintah negara.

“Mereka gunakan kumpulan untuk bersorak dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemimpin BN dan turut mengejar ke mana sahaja pemimpin berkenaan pergi.

“Pembangkang tidak menunjukkan rasa hormat pada lawan mereka, adakah ini imej parti yang nak perintah negara,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Bilik Gerakan Induk, Pemuda BN di sini malam ini.

Apa yang penting, kata Najib, Pemuda UMNO tidak akan takut dan gentar dengan tindakan tersebut pembangkang itu.

“Malah lagi gasak dia (pembangkang) main, lagi semangat Pemuda UMNO. Saya nak ingatkan jangan bermain api dan menguji Pemuda UMNO kerana kita tidak takut kepada mereka,” katanya.

Sementara itu di Serdang, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKR serta para penyokongnya dinasihatkan supaya jangan terlalu angkuh dan agresif ketika berkempen sehingga boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang lain.

Katanya, tindakan para penyokong parti itu di Permatang Pauh semalam mencerminkan kebiadapan mereka yang bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat negara ini.

‘‘Saya berada di sana semalam dan menyaksikan sendiri insiden keganasan para penyokong PKR yang merosakkan harta benda dan menyebabkan kecederaan.

‘‘Sikap para penyokong PKR itu seolah-olah mereka sudah menang dan mereka angkuh dengan perasaan itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008.

Semalam, dua jurugambar termasuk seorang daripada agensi berita asing dibelasah penyokong PKR ketika kedua-duanya membuat liputan proses penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) di Permatang Pauh.

Dalam kejadian itu, para penyokong PKR telah mengepung dan mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki penyokong Barisan Nasional (BN).

Jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis, 26, yang berada di atas kenderaan berkenaan dan cuba merakamkan insiden berkenaan diserang.

Lebih teruk lagi, kameranya turut dirampas bahkan jurugambar Halim Berbar, 28, dari HBL Press News, Perancis yang cuba membantu turut dibelasah.

Dalam hal ini, tegas Muhyiddin, para pemimpin PKR harus sentiasa mengawasi perilaku penyokongnya supaya lebih bertanggungjawab kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah medan pemilihan wakil rakyat dan bukannya medan peperangan.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed meminta pengundi di Permatang Pauh supaya menolak perjuangan PKR berdasarkan budaya samseng yang dibawa parti itu.

Sambil melahirkan kekecewaannya, beliau berkata, budaya ganas yang diamalkan para penyokong PKR bertentangan dengan adab dan nilai-nilai masyarakat timur.



Klik Di Sini dan Baca Selanjutnya...

POLIS AKAN BERTINDAK TERHADAP PENYOKONG PKR BELASAH DUA JURUGAMBAR

BUKIT MERTAJAM: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penyokong parti politik yang membelasah dua jurugambar media pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, kelmarin.

Pada masa sama, polis memberi jaminan akan membuat pemantauan berterusan bagi mengelak berulangnya kejadian tidak diingini sepanjang kempen pilihan raya kecil itu.


Jaminan itu diberi Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar serta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, semalam.



Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula menyifatkan tindakan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyerang dua jurugambar itu sebagai amat memalukan.

Perdana Menteri berkata, semua pihak patut menggunakan proses demokrasi dengan cara yang betul untuk berkempen bagi memilih wakil masing-masing ke Parlimen.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar

"Bertindak liar, ganas dan mencederakan seseorang itu adalah satu kesalahan jenayah dan pihak terbabit patut dikenakan tindakan," katanya pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan jawatankuasa dan pegawai masjid serta pemimpin masyarakat Cina Parlimen Permatang Pauh di Seberang Jaya dekat sini, semalam.

Dalam kejadian berdekatan pusat penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun itu, jurugambar The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Mohd Sairien Nafis, 26, cedera di pinggang, manakala kameranya bernilai kira-kira RM15,000 dirampas penyokong PKR.

Turut diserang dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu ialah jurugambar agensi berita asing, Halim Berbar.

Abdullah berkata, semua pihak perlu menghormati undang-undang dan tidak bertindak sesuka hati.
CEDERA: Jurugambar NSTP, Mohd Sairien Nafis dipukul selepas penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, kelmarin.

"Kalau berlaku macam itu, ia menunjukkan mereka tidak menghormati undang-undang dan nak harapkan orang seperti ini membantu memenangkan calon mereka. Ini tidak wajar sebenarnya," katanya.

Perdana Menteri berkata, walaupun rakyat diberi kebebasan memilih wakil mereka, ia ada had dan bukan dengan mengadakan demonstrasi.

"Inikah demokrasi yang dikatakan oleh pihak Barat, mesti ada demonstrasi untuk menuntut kebebasan, seolah-olah negara ini tidak ada kebebasan.

"Surat khabar macam-macam tulis dan mengata kita dan internet juga, tetapi orang kata masih tidak bebas lagi. Nak bebas macam mana, saya pun hairan apa kebebasan yang dituntut sekarang. Mana boleh kebebasan yang tiada had dalam dunia ini," katanya.

Ismail yang dihubungi Berita Harian di Kuala Lumpur pula, menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana keadaan di Permatang Pauh masih selamat dan terkawal.

Beliau juga berkata, penambahan anggota polis di Permatang Pauh akan dibuat mengikut keadaan dan keperluan.

Sementara itu, Mohd Bakri mengesahkan polis sudah menerima laporan berhubung salah laku penyokong parti terbabit.

"Polis akan menyiasat dan bertindak tegas. Saya mahu beri amaran kepada semua pihak supaya jangan mengambil tindakan undang-undang secara sendiri," katanya.

Mengenai dakwaan sekumpulan ahli Puteri Umno diraba di punggung dan diludah penyokong PKR, Mohd Bakri meminta mangsa membuat laporan polis kerana perbuatan itu satu jenayah cabul.

"Kita tidak boleh mengambil tindakan berdasarkan andaian atau laporan akhbar semata-mata, sebaliknya pihak terbabit perlu membuat laporan," katanya.

Klik Di Sini dan Baca Selanjutnya...

ANWAR AKUI TAK MAMPU TANGGUNG BELANJA PENYOKONG


BUKIT MERTAJAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai dana yang cukup bagi menaja makan dan minum para penyokongnya yang hadir pada setiap ceramahnya.

“Puluhan ribu yang datang tapi air pun tak ada. Saya tak mampu...Saya juga tidak mempunyai saham atau tanah,” katanya kepada kira-kira 100 orang di ceramahnya di Kampung Belah Dua, di Permatang Pauh di sini, malam tadi.

Pada setiap ceramahnya, petugas PKR akan melakukan pungutan wang bagi menampung keperluan berkempen pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 26 Ogos ini.

Anwar yang sentiasa dilihat menaiki kereta Mercedes S320 berwarna perang di setiap ceramahnya juga menafikan kenderaan itu adalah miliknya.

“Kereta saya naik itu bukan saya punya. Tapi pak (bapa) saya punya. Saya ni tiada apa-apa pun. Kalau tak percaya boleh tanya Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail- Presiden PKR)," katanya.

Sementara itu, dalam sesi ceramahnya di Bukit Jelutong di Permatang Pasir dekat sini, Anwar menasihati penyokongnya agar tidak bertindak di luar batasan dan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis.

“Saya ni bukanlah anti-polis. Jadi kita buatlah apa yang mereka suruh asal jangan bertentangan dengan apa yang kita mahu. Kita bukan mahu keganasan, kita mahu satu perubahan,” katanya kepada kira-kira 5,000 hadirin.

Penyokongnya mula bersorak sambil melaungkan laungan “reformasi” apabila sebuah helikopter milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berlegar di sekitar tapak ceramah.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, Anwar dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat. — Bernama

Klik Di Sini dan Baca Selanjutnya...

Friday, August 15, 2008

ARIF SHAH CALON PALING LAYAK: ABDULLAH

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpendapat Datuk Arif Shah Omar Shah adalah calon paling layak untuk bertanding menentang Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN berkata, Arif Shah, 52, berasal dari Permatang Pauh dan mempunyai rekod baik dalam berkhidmat kepada penduduk di kawasan itu selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya, satu daripada tiga kerusi negeri dalam Parlimen itu.

“Beliau telah berkhidmat dengan Umno untuk sekian lama dan membuktikan kesetiaan kepada parti. Beliau mempunyai keazaman dan aktif dalam memberikan perkhidmatan kepada orang ramai. "Beliau adalah calon terbaik. Beliau juga mempunyai bakat kepemimpinan.

“Lainnya yang dipilih untuk disenarai pendek sebagai calon BN juga bersetuju bahawa Arif calon yang baik untuk kerusi itu. Sebelum memutuskan mengenai calon, kami mendapatkan maklum balas daripada penduduk Permatang Pauh dan anggota Umno.

Pada 13 Ogos yang lalu, Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Arif sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu. Penamaan calon ditetapkan pada Sabtu ini dan pengundian pada 26 Ogos.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh dikosongkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk memberi laluan kepada suaminya, Anwar untuk bertanding di kawasan itu dalam usahanya untuk kembali menyertai Parlimen.

Klik Di Sini dan Baca Selanjutnya...