Sunday, August 17, 2008

JANGAN BIADAP PEMBANGKANG TIDAK MENUNJUKKAN RASA HORMAT PADA LAWAN - NAJIB



BUKIT MERTAJAM 17 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak membidas pembangkang yang bersikap biadap terhadap pemimpin UMNO dan menggunakan pelbagai pendekatan untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sikap berkenaan melambangkan imej pembangkang yang tidak berbudi bahasa dan akan diamalkan jika diberi peluang memerintah negara.

“Mereka gunakan kumpulan untuk bersorak dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemimpin BN dan turut mengejar ke mana sahaja pemimpin berkenaan pergi.

“Pembangkang tidak menunjukkan rasa hormat pada lawan mereka, adakah ini imej parti yang nak perintah negara,” katanya selepas mengadakan tinjauan di Bilik Gerakan Induk, Pemuda BN di sini malam ini.

Apa yang penting, kata Najib, Pemuda UMNO tidak akan takut dan gentar dengan tindakan tersebut pembangkang itu.

“Malah lagi gasak dia (pembangkang) main, lagi semangat Pemuda UMNO. Saya nak ingatkan jangan bermain api dan menguji Pemuda UMNO kerana kita tidak takut kepada mereka,” katanya.

Sementara itu di Serdang, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKR serta para penyokongnya dinasihatkan supaya jangan terlalu angkuh dan agresif ketika berkempen sehingga boleh mengakibatkan kecederaan kepada orang lain.

Katanya, tindakan para penyokong parti itu di Permatang Pauh semalam mencerminkan kebiadapan mereka yang bertentangan dengan nilai-nilai masyarakat negara ini.

‘‘Saya berada di sana semalam dan menyaksikan sendiri insiden keganasan para penyokong PKR yang merosakkan harta benda dan menyebabkan kecederaan.

‘‘Sikap para penyokong PKR itu seolah-olah mereka sudah menang dan mereka angkuh dengan perasaan itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pemberita pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2008.

Semalam, dua jurugambar termasuk seorang daripada agensi berita asing dibelasah penyokong PKR ketika kedua-duanya membuat liputan proses penamaan calon di Institut Perguruan Tuanku Bainun (IPTB) di Permatang Pauh.

Dalam kejadian itu, para penyokong PKR telah mengepung dan mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki penyokong Barisan Nasional (BN).

Jurugambar akhbar New Straits Times, Mohamed Sairen Mohamed Nahfis, 26, yang berada di atas kenderaan berkenaan dan cuba merakamkan insiden berkenaan diserang.

Lebih teruk lagi, kameranya turut dirampas bahkan jurugambar Halim Berbar, 28, dari HBL Press News, Perancis yang cuba membantu turut dibelasah.

Dalam hal ini, tegas Muhyiddin, para pemimpin PKR harus sentiasa mengawasi perilaku penyokongnya supaya lebih bertanggungjawab kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah medan pemilihan wakil rakyat dan bukannya medan peperangan.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mustapa Mohamed meminta pengundi di Permatang Pauh supaya menolak perjuangan PKR berdasarkan budaya samseng yang dibawa parti itu.

Sambil melahirkan kekecewaannya, beliau berkata, budaya ganas yang diamalkan para penyokong PKR bertentangan dengan adab dan nilai-nilai masyarakat timur.



No comments: