Saturday, August 23, 2008

HARGA MINYAK TURUN HAK RAKYAT

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan keputusan menurunkan harga minyak tiada kaitan dengan cubaan meraih undi pada pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh, sebaliknya demi kepentingan rakyat seluruh negara.

"Adakah saya hendak korbankan kepentingan keseluruhan rakyat hanya kerana pilihan raya kecil Permatang Pauh," katanya ketika menolak andaian kononnya penurunan harga minyak yang berkuat kuasa tengah malam kelmarin ada hubungan dengan pilihan raya kecil itu.


Beliau berkata, keputusan menurunkan harga minyak berdasarkan harga minyak mentah dunia sehingga kelmarin dan kerajaan menunaikan janji untuk berbuat demikian kerana harga minyak yang lebih rendah adalah hak seluruh rakyat jika keadaan membenarkan ia dikurangkan.

Katanya, perkara berkenaan bukan isu politik kerana semua keputusan mengenainya memerlukan pertimbangan dan perbincangan rapi.

"Saya buat apa yang saya cakap. Adakah kerana pilihan raya hari ini maka seluruh rakyat dinafikan (untuk menikmati) harga minyak yang lebih rendah. Minyak bukan untuk orang Permatang Pauh saja," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan masyarakat Cina di Rumah Pangsa Taman Tun Hussein, di sini, semalam.

Malah, katanya, keputusan itu dilaksanakan juga walaupun Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop menyatakan ada kemungkinan harga minyak mentah dunia meningkat semula.

Mengenai keselamatan sepanjang kempen pilihan raya itu, Abdullah berkata, tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku sehingga ini, cuma ada sedikit ketertiban walaupun semangat petugas parti begitu tinggi.

Bagaimanapun, beliau ada menerima laporan mengenai cadangan pihak tertentu yang mahu membawa ramai orang luar ke Permatang Pauh pada hari mengundi Selasa ini dan menyebabkan jalan raya sesak.

"Saya harap ini tidak berlaku (kerana) kalau kita hendak amalkan demokrasi, amalkan betul-betul dan jangan hanya hendak kebaikan serta kesenangan untuk kita tetapi susahkan orang lain," katanya.

Beliau memberi jaminan pengundi akan selamat keluar mengundi dan meminta polis memastikan laluan ke pusat mengundi tidak sesak dengan kenderaan supaya pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan tenang.

Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Abdullah berkata, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah adalah wakil rakyat yang terbaik dan perlu menjadi pilihan kerana rapat dengan penduduk selain rajin dan menetap di Permatang Pauh.

Abdullah berkata, kerajaan BN akan terus kukuh dan diuruskan untuk kepentingan rakyat tanpa mengambil kira keputusan pilihan raya kecil Permatang Pauh.

Sambil mengakui tidak ada yang mustahil pada setiap pilihan raya, Perdana Menteri berkata, kerajaan BN akan kekal sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Saya fikir segala-galanya berkemungkinan, mungkin beliau (Datuk Seri Anwar Ibrahim) balik ke Parlimen atau mungkin juga beliau boleh tewas.

"(Bagaimanapun) saya tidak kisah sama ada dia menang atau kalah kerana yang penting bagi saya ialah menggerakkan kerajaan. Saya ambil berat supaya orang saya (petugas BN) bekerja keras dan berjumpa pengundi dan (kemudian) melaksanakan tugas kepada penduduk," katanya.

Abdullah berkata, beliau tidak peduli tindakan pembangkang kerana walaupun kekurangan lapan kerusi Parlimen untuk membentuk majoriti dua pertiga, bagi BN ia cukup kuat untuk banyak negara membangun.

Mengenai dakwaan Anwar ada Ahli Parlimen BN yang akan melompat parti selepas berjaya ke parlimen, Abdullah berkata, beliau tidak bimbang mengenainya.

"Orang BN sayangkan BN, jika kita ada masalah sesama kita, kita akan selesaikan secara baik," katanya.

Mengenai sumpah bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa dia diliwat Anwar dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menafikan ada hubungan dengan wanita Mongolia, Antantuya Sharibu, Abdullah berkata beliau tidak berhak menyatakan sama ada ia perlu atau tidak.

No comments: