Sunday, August 17, 2008

ANWAR AKUI TAK MAMPU TANGGUNG BELANJA PENYOKONG


BUKIT MERTAJAM: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak mempunyai dana yang cukup bagi menaja makan dan minum para penyokongnya yang hadir pada setiap ceramahnya.

“Puluhan ribu yang datang tapi air pun tak ada. Saya tak mampu...Saya juga tidak mempunyai saham atau tanah,” katanya kepada kira-kira 100 orang di ceramahnya di Kampung Belah Dua, di Permatang Pauh di sini, malam tadi.

Pada setiap ceramahnya, petugas PKR akan melakukan pungutan wang bagi menampung keperluan berkempen pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh yang akan diadakan pada 26 Ogos ini.

Anwar yang sentiasa dilihat menaiki kereta Mercedes S320 berwarna perang di setiap ceramahnya juga menafikan kenderaan itu adalah miliknya.

“Kereta saya naik itu bukan saya punya. Tapi pak (bapa) saya punya. Saya ni tiada apa-apa pun. Kalau tak percaya boleh tanya Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail- Presiden PKR)," katanya.

Sementara itu, dalam sesi ceramahnya di Bukit Jelutong di Permatang Pasir dekat sini, Anwar menasihati penyokongnya agar tidak bertindak di luar batasan dan sentiasa memberikan kerjasama kepada polis.

“Saya ni bukanlah anti-polis. Jadi kita buatlah apa yang mereka suruh asal jangan bertentangan dengan apa yang kita mahu. Kita bukan mahu keganasan, kita mahu satu perubahan,” katanya kepada kira-kira 5,000 hadirin.

Penyokongnya mula bersorak sambil melaungkan laungan “reformasi” apabila sebuah helikopter milik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berlegar di sekitar tapak ceramah.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, Anwar dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat. — Bernama

No comments: